Elit politik: Tuduhan Ramasamy terhadap Tun M berniat jahat – Khairuddin

0
1
Khairuddin Abu Hassan

KETUA Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menyifatkan tuduhan P Ramasamy bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad memberikan layanan istimewa kepada ‘elit politik’ sebagai tidak berasas dan berniat jahat.

Beliau berkata, sikap Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang yang sentiasa mempertikaikan kepimpinan Melayu boleh menjadi punca perpecahan kaum di negara ini.

“Sesungguhnya, di zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir telah berjaya mengwujudkan pelbagai peluang kekayaan kepada semua kaum di negara ini tanpa sebarang bentuk amalan berat sebelah dan sebagainya.

“Di zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad ramai jutawan dari kaum cina dan tamil telah berjaya diujudkan.

“Pernahkah Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil pendekatan untuk sabotaj kejayaan bangsa asing di negara kita?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairuddin berkata, malah penguasaan ekonomi negara juga terletak di tangan kaum asing tanpa sebarang perasaan cemburu atau hasad dengki dari kepimpinan serta orang Melayu

“Melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) bangsa asing berjaya menguasai kekayaan ekonomi negara tanpa sebarang bentuk sekatan mahupun elemen sabotaj oleh kepimpinan melayu sehingga kini.

“Tun Dr Mahathir Mohamad melawan sikap kronisma di dalam Umno yang dianjurkan oleh timbalannya pada tahun 1998.

“Pada waktu tersebut Tun Dr Mahathir Mohamad telah berani mendedahkan senarai kronisma melalui Perhimpunan Agung UMNO secara terbuka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairuddin menyifatkan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi cuba mencari publisiti murahan dalam isu Pulau Batu Puteh.

Beliau berkata, Mohd Puad wajar menyaman kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjang Umno pada 2003 terlebih dahulu, kerana cuai sehingga negara kehilangan Pulau Batu Putih di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Kehilangan Pulau Batu Putih adalah disebabkan oleh kecuaian pemimpin-pemimpin Umno di zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri Malaysia.

“Kenapa semua pihak yang buat bising pada hari ini tidak langsung mempertikaikan ke atas tokoh pemimpin pada waktu itu yang menyebabkan kita kehilangan pulau tersebut?,” katanya.

Hakikatnya, Khairuddin berkata, penyokong-penyokong Umno amat takut dengan ketegasan Dr Mahathir melawan rasuah di negara ini.

“Ini sikap pemimpin-pemimpin Umno yang senantiasa takut pada bayang-bayang sendiri kerana mereka tahu seandainya Tun Dr Mahathir Mohamad balik menerajui negara; mereka bakal berhadapan dengan pelbagai permasalahan undang-undang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here