Tempoh kuarantin pengembara dipendekkan mulai Isnin

0
1
Kelihatan orang ramai membeli tiket ketika tinjauan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) hari ini. Semalam, penjualan tiket meningkat 30 peratus susulan kebenaran merentas negeri bagi individu lengkap vaksin Covid-19 bermula Isnin lepas.

KERAJAAN bersetuju mengurangkan tempoh kuarantin wajib pengembara dari luar negara serta Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kontak Rapat yang lengkap vaksinasi Covid-19 daripada 14 hari kepada tujuh hari.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, manakala pengembara tidak lengkap vaksinasi perlu menjalani tempoh kuarantin selama 10 hari, berkuat kuasa Isnin ini.

“Mereka yang telah lengkap vaksinasi Covid-19 akan menjalani tempoh kuarantin selama tujuh hari manakala mereka yang tiada atau tidak lengkap vaksinasi Covid-19, perlu menjalani tempoh kuarantin selama 10 hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, KKM memaklumkan bahawa mereka yang terlibat adalah seperti berikut:

  1. Mana-mana warganegara, pemastautin tetap Malaysia, ekspatariat atau kor diplomatik atau mana-mana orang asing lain yang dibenarkan oleh Ketua Pengarah Imigresen memasuki Malaysia dari luar negara.
  2. Kontak rapat kepada kes positif Covid-19.
  3. Individu yang diberi perintah pengawasan dan pemerhatian oleh pegawai diberi kuasa, contohnya individu yang pulang dari kawasan berisiko tinggi berlaku penularan jangkitan seperti yang diumumkan oleh Kerajaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua individu yang dinyatakan di atas adalah tertakluk kepada pengurangan tempoh kuarantin wajib ini berkuatkuasa pada 18 Oktober 2021.

Khairy berkata, individu yang sedang menjalani kuarantin wajib, mereka akan diberi Pelepasan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (Release Order) mengikut tempoh kuarantin baharu yang telah diumumkan.

“Bagaimana pun ujian RT-PCR perlu dijalankan sebelum Pelepasan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian diberi.

“Bagi individu yang sedang menjalani kurantin wajib hari kelima dan ke atas serta telah lengkap vaksinasi Covid-19, mereka akan menjalani ujian RT-PCR bermula hari ini.

“Sekiranya keputusan ujian pengesanan Covid-19 adalah negatif, mereka akan diberikan Pelepasan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian pada 18 Oktober 2021,” katanya.

Khairy berkata, manakala bagi individu yang tidak mengambil vaksin atau tidak lengkap vaksinasi Covid-19 dan sedang menjalani kurantin wajib hari kelapan dan ke atas, mereka juga boleh menjalani ujian RT-PCR bermula hari ini.

“Jadi, sekiranya keputusan ujian pengesanan Covid-19 adalah negatif, mereka akan diberikan Pelepasan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian pada 18 Oktober 2021,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here