SEORANG lelaki positif Covid-19 yang dikehendaki polis maut selepas motosikalnya merempuh trak pikap di persimpangan Institut Kemahiran Mara (IKM), Sungai Petani, Kedah hari ini.
Mangsa berusia 25 tahun itu memiliki rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah serta melanggar syarat kuarantin kerana masih memakai gelang merah jambu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abd Rahman, berkata dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa didapati telah melanggar lampu isyarat merah .
“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala, manakala pemandu trak pikap tidak cedera,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Anuar, pemandu trak pikap yang bekerja sebagai tukang paip datang dari arah Kelab Cinta Sayang menghala ke Lagenda Height.
“Ketika pemandunya bergerak sejurus lampu isyarat hijau, secara tiba-tiba motosikal ditunggang mangsa datang dari arah kiri dan merempuh trak pikap terbabit.
“Mangsa menunggang motosikal dengan laju dan melanggar lampu isyarat yang ketika itu masih merah,” katanya.
Beliau berkata, semakan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati mangsa masih disahkan positif Covid-19.
“Mangsa juga orang dikehendaki polis dan mempunyai 14 rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Berita Harian

