Faedah terakru: ‘Jawapan timbalan menteri meragukan’ – Zahid

0
1

PEMBERIAN moratorium bayaran balik pinjaman tanpa faedah terakru selari dengan falsafah Keluarga Malaysia iaitu tiada sesiapa ketinggalan dalam perjalanan negara pulih daripada kemusnahan ekonomi.

Perkara itu ditegaskan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berkata, pemberian moratorium bayaran balik pinjaman dengan tujuan untuk membantu mereka yang terjejas bangkit daripada kemusnahan ekonomi, bukan untuk memberi peluang institusi kewangan menjana “long term revenue”.

“Ramai masih ingat tentang bank-bank di Malaysia mengisytiharkan keuntungan berbilion ringgit tahun lalu di sebalik implikasi pemberian pertama moratorium bayaran balik pinjaman kepada rakyat.

“Kerana itu kita tetap berpegang kepada kata-kata Perdana Menteri iaitu kerajaan baharu memahami situasi yang dihadapi rakyat dan akan membantu sebaik-baiknya dalam isu faedah terakru moratorium bayaran balik pinjaman,” katanya di Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, bank kemungkinan akan mengalami sedikit perbezaan keuntungan berbanding apa yang mereka “forecast” kerana perlu melepaskan faedah terakru, tetapi tidaklah sehingga merekodkan kerugian atau menjejaskan kelangsungan operasi.

“Perlu ingat bank masih mencatatkan keuntungan berbilion ringgit sedangkan banyak pemain industri atau sektor lain telah dan sedang mengalami kerugian teruk akibat pandemik sehingga mengundang lambakan pengangguran di sana-sini.

“Maka jawapan Timbalan Menteri Kewangan di Parlimen beberapa hari lalu iaitu pengecualian faedah terakru terhadap moratorium bayaran balik pinjaman tahun ini akan memberi kesan dan membebankan pihak bank agak meragukan.

“Pengecualian itu yang didakwa akan turut menyebabkan bank menghadapi kesukaran bayar dividen kepada pelabur serta dana institusi simpanan awam seperti KWSP, KWAP, PNB, LTAT, dan Tabung Haji juga diragui,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here