Selepas Rosmah, Najib pula mohon pasport dikembalikan

0
1

AHLI Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Rayuan bagi pasportnya dikembalikan sementara supaya dapat ke Singapura untuk menemani anaknya bersalin.

Hal itu disahkan peguam Najib, Nur Syahirah Hanapiah, yang memberitahu permohonan tersebut dibuat baru-baru ini.

“Betul,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Nur Syahirah berkata Mahkamah Rayuan dijangka mendengar permohonan tersebut pada Isnin ini.

Katanya, pasukan pembelaan Najib memfailkan permohonan berkaitan pasport tersebut ke Mahkamah Rayuan kerana rayuan bagi sabitan kes Ahli Parlimen Pekan itu sedang dibicarakan di situ.

Bagaimanapun, Nur Syahirah tidak mendedahkan tempoh spesifik dimohon Najib kepada mahkamah serta tarikh dijangka kembali ke Malaysia.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi membenarkan permohonan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, agar pasportnya dikembalikan sementara bagi tujuan sama.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan, membenarkan permohonan yang dibuat oleh peguam Jagjit Singh.

Pasport berkenaan mesti diserahkan pada atau sebelum 6 Disember ini.

“Ini dengan syarat pemohon hanya dibenarkan melakukan perjalanan ke luar negara ke Singapura mulai 21 Oktober 2021 dan mesti kembali ke Malaysia pada atau sebelum 21 November 2021,” katanya.

Kunjungan pasangan suami isteri terbabit ke negara di selatan tanah air itu adalah bagi menemani anak mereka Nooryana Najwa yang dijadual bersalin tidak lama lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here