PERSIDANGAN Umno Cawangan yang bermula hari ini dilihat bakal menjadi medan yang tepat bagi ahli di peringkat akar umbi membincangkan agenda memperkukuh parti keramat itu, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau yang juga Perdana Menteri, menyeru semua ahli agar bersama membulat tekad untuk menjadikan Umno sentiasa dipelihara dengan semangat menjunjung kepentingan agama, bangsa dan tanah air tercinta.
“Selamat bersidang saya ucapkan kepada semua ahli Umno cawangan-cawangan di seluruh negara!
“Amalkan norma baharu dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) demi memastikan keselamatan diri, keluarga dan masyarakat di sekeliling kita,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 29 September lalu, memutuskan beberapa ketentuan mengenai tarikh-tarikh untuk diadakan persidangan Cawangan, Bahagian dan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022.
Persidangan Umno Cawangan bermula 15 Oktober hingga 30 November 2021, manakala Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno Bahagian, diadakan serentak seluruh negara pada 11 dan 12 Disember 2021.
Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian juga diadakan serentak seluruh negara pada 18 Disember 2021, manakala PAU 2021 akan diadakan pada 13 hingga 15 Januari 2022.
Semua mesyuarat tidak diadakan pemilihan jawatan kerana penangguhan Pemilihan Parti Umno sehingga 29 Disember 2022. – Malaysiapost

