AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, merasakan adalah rasional untuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat isu Pulau Batu Puteh kerana dipercayai berlaku pembohongan dalam kes berkenaan.
Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu, berkata pasukan berkenaan perlu menyiasat kenapa berlaku pembohongan dan apa tujuannya dalam kes terbabit.
“Malaysia secara rasmi hantar surat kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tarik balik permohonan semakan pada 28 Mei 2018. Tetapi pada 30 Mei 2021 (dua hari selepasnya) Tun Dr Mahathir Mohamad kata dia masih mempertimbangkan semakan.
“Itu pembohongan besar kepada rakyat Malaysia? Lagi pelik, pada Julai 2019 (setahun selepas) Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya dalam jawapan di Parlimen kata, Malaysia komited teruskan semakan kehakiman.
“Dalam Parlimen pun berbohong?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau turut mempersoalkan tindakan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berada dalam Pakatan Harapan (PH) ketika itu yang seperti tidak mengetahui pembohongan berkenaan.
“Muhyiddin ada dalam kerajaan PH ketika itu. Apakah dia tidak tahu pembohongan itu? Sebagai orang Johor, apakah dia tidak kisah?” soalnya lagi.
Pada 9 Oktober lalu, kerajaan bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas bagi membuat kajian menyeluruh, berkenaan permohonan semakan undang-undang berhubung isu Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pasukan itu akan meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.
Ismail Sabri berkata, Jemaah Menteri juga telah membuat keputusan untuk mendapatkan pandangan undang-undang awal berkenaan tindakan terhadap pihak yang didapati melakukan kecuaian dan kekhilafan ekoran tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes berkenaan. – Malaysiapost

