SEBAGAI sebuah negara maritim, kerajaan perlu berusaha membina proses lebih rapi bagi mengkoordinasikan agensi-agensi yang terlibat untuk bertindak balas terhadap tumpahan minyak di perairan negara.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, menyelesaikan masalah yang disebabkan oleh tumpahan minyak dan kimia adalah cabaran merangkumi pelbagai faktor.
Sehubungan itu beliau berkata kerajaan harus lebih bersedia untuk menghadapi semua jenis situasi.
Ka Siong berkata beliau hari ini merasai pengalaman latihan mengenali dan mengambil gambar tumpahan minyak serta bahan kimia dari insiden di laut menerusi teknologi maya di pejabat International Tanker Owners Pollution Federation Ltd (ITOPF) di London.
“Kami ‘ditugaskan’ untuk mengenali dan mengambil gambar tumpahan minyak serta tumpahan bahan kimia lain akibat dari insiden di laut.
“ITOPF merupakan organisasi bukan berasas keuntungan yang memberi tindak balas terhadap kejadian tumpahan (seperti minyak, bahan kimia dan seumpamanya), penilaian kerosakan, penasihat atau perundingan, latihan dan pendidikan untuk membantu mencegah serta meminimumkan kerosakan sosial dan ekologi akibat tumpahan di laut,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Ka Siong berkata, sebelum itu beliau menerima taklimat daripada Pengurus Pasukan Teknikal ITOPF, Dr Mark Whittington dan Penasihat Teknikal ITOPF, Miguel Patel mengenai perlunya negara dan kerajaan di seluruh dunia menyiapkan rancangan tindak balas tumpahan di laut yang cepat serta berkesan.
“Pengarah Urusan ITOPF, Oli Beavon juga hadir untuk menyambut delegasi kami. Beliau akan mengambil alih tugas dari Dr Karen Purnell yang akan bersara akhir tahun 2021 ini,” ujarnya.
Dalam masa sama, Ka Siong menjelaskan Malaysia pernah menggunakan khidmat kumpulan pakar ITOPF ketika insiden tumpahan minyak di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pelabuhan Johor.
“Kumpulan pakar ITOPF pernah dikerah ke kawasan tumpahan minyak di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pelabuhan Johor dan Pelabuhan Labuan untuk menjalankan siasatan serta memberi nasihat dalam kerja-kerja penyelamat dan pembersihan kawasan tumpahan,” katanya. – Malaysiapost

