Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang membangunkan sistem Daftar Bunuh Diri dan Kecederaan Fatal Kebangsaan (NSFIRM) bagi membolehkan rakyat mendapat akses kepada informasi kes bunuh diri.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata sistem itu dibangunkan sejak 2020 dan dijangka siap sepenuhnya pada 2023.
Menurutnya, KKM kini sedang dalam perincian proses kerja serta pembangunan aplikasi bagi sistem itu yang akan membabitkan semua fasiliti hospital KKM di seluruh negara.
“NSFIRM ini telah disenaraikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan diperuntukkan RM4 juta bagi pembangunan sistem tersebut.
“Pembangunan NSFIRM akan membolehkan statistik terperinci dan tepat berkaitan kejadian bunuh diri dan kecederaan fatal diperolehi,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Senator Fadhlina Sidek mengenai status dan pertimbangan kerajaan tentang pelaksanaan sistem berkenaan, bagi membolehkan masyarakat mendapat akses kepada informasi kes bunuh diri.
Dr Noor Azmi berkata, sistem itu juga akan membantu usaha memperkukuhkan pembangunan dasar dan program pencegahan tingkah laku bunuh diri.
Menjawab soalan tambahan daripada Fadhlina berhubung apakah mekanisme untuk KKM menjalankan intervensi sekiranya sistem itu belum siap sepenuhnya, beliau berkata KKM akan menggunakan data daripada sumber lain.
“Contohnya adalah seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), sumber dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Institut Sosial Malaysia (ISM) yang menunjukkan kes bunuh diri
“Daripada Januari hingga Mac 2021, sebanyak 336 kes direkodkan sedangkan pada tempoh sama tahun lepas 112 kes dilaporkan, iaitu peningkatan sebanyak 67 peratus. Kes membabitkan umur yang produktif antara 19 dan 40 tahun.
“KKM akan mengambil data-data ini untuk melihat bagaimana kita nak mengkaji. Sebab itulah usaha melaksanakan sistem data bunuh diri dan kecederaan fatal sedang dipergiatkan. KKM sangat serius mengenai perkara ini,” katanya. – Malaysiapost

