“Saya tak dapat jelaskan, kami sudah jauh di depan” – Aziz M Osman

0
1

SEORANG kru produksi filem yang maut dalam nahas di Setiu, semalam dilaporkan dalam perjalanan pulang ke ibu negara selepas menjalani penggambaran dokumentari terbitan syarikat produksi milik pengarah, Aziz M Osman iaitu Ace Motion Pictures Sdn Bhd.

Dalam nahas jam 1.15 tengah hari semalam, pengarah serta penyunting, Muhammad Nurshamril Abdul Malek, 27, yang juga pemandu Perodua Alza meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tiga lagi parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas.

Aziz, 59, berkata ketika kejadian dia bersama isteri, bapa mentua dan seorang anaknya yang juga kru produksi menaiki kenderaan lain untuk pulang ke Kuala Lumpur dari Kota Bharu, lapor Harian Metro.

“Kami ke Kota Bharu Isnin lalu bagi menjalani penggambaran projek Dokumentari Seniman Negara: Khatijah Awang. Kami menaiki dua kenderaan, satu saya bersama keluarga, satu lagi kereta dinaiki empat kru itu.

“Kalau tanya saya, saya sendiri tidak boleh jelaskan bagaimana kemalangan boleh berlaku. Ini kerana kami sudah jauh ke depan dan tidak dapat berhubung terus dengan mereka,” katanya.

Menurut Aziz, mangsa yang meninggal dunia sudah dibawa pulang ke Kuala Lumpur sementara tiga yang cedera dirawat di sebuah hospital di Terengganu.

“Isteri saya dalam perjalanan ke rumah keluarga arwah,” katanya.

Semalam Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin dilaporkan berkata nahas berlaku apabila pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas dan terlanggar tunggul kayu di kiri jalan menghala ke Kuala Terengganu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here