KETUA Penerangan Barisan Nasional (BN), Isham Jalil berpendapat pilihan yang ada bagi kemelut politik di Melaka adalah sama ada untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) atau menangguhkannya melalui pengisytiharan darurat.
Menurutnya, bagaimanapun jika Pakatan Harapan (PH) ingin membazirkan waktu dan sumber mahkamah dengan mencabar pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), itu adalah hak mereka dan BN akan lawan.
Beliau berkata, hujah-hujah yang dikatakan dibuat oleh seorang ahli parlimen PKR dari Melaka berkenaan pembubaran DUN juga boleh disangkal.
“Antara hujahnya ialah nasihat Ketua Menteri Melaka kepada Yang Dipertua Negeri Melaka (TYT), Tun Mohd Ali Rustam untuk membubar DUN adalah tidak sah sebab Ketua Menteri Melaka telah hilang majoriti semasa memberi notis diberikan.
“Jawapan saya, notis (atau nasihat) pembubaran DUN kepada TYT telah dibuat pada sebelah pagi sekitar jam 11 pagi, manakala sidang akhbar penarikan sokongan empat orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dibuat pada 2 petang.
“Oleh itu nasihat diberikan oleh Ketua Menteri untuk pembubaran DUN ketika masih mempunyai sokongan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, persoalan masa nasihat pembubaran DUN dan penarikan sokongan ADUN berkenaan bukanlah suatu isu undang-undang namun adalah isu politik.
Isham berkata, dalam undang-undang juga tidak ada disebut pilihan untuk cari orang lain atau alternatif yang mempunyai sokongan majoriti untuk jadi ketua kerajaan gantian setelah ketua kerajaan sedia ada hilang sokongan.
“Pilihan ini hanyalah pilihan politik yang tidak bercanggah dengan undang-undang, maka ia boleh dibuat atau pun tidak dibuat mengikut budi bicara ketua negeri atau TYT,” katanya.
Menurutnya, menyedari hal itu, ahli parlimen PKR itu membuat hujah lain dengan menyatakan bahawa budi bicara TYT adalah hanya tertakluk untuk menolak pembubaran DUN, dan membubarkan DUN bukanlah di bawah budi bicara TYT.
“Ini adalah hal konstruksi dan interpretasi undang-undang yang mana ahli parlimen tersebut ternyata bias atau selektif sehingga hujahnya menjadi tidak masuk akal.
“Jika menolak pembubaran DUN bertentangan dengan nasihat Ketua Menteri adalah kuasa prerogatif atau budi bicara TYT, maka menerima pembubaran DUN juga adalah bergantung dan termasuk dalam kuasa budi bicara TYT juga,” katanya.
Beliau berkata, adalah tidak masuk akal jika dikata TYT tidak ada kuasa budi bicara apabila menerima pembubaran DUN setelah dinasihat apabila pada masa yang sama dia boleh menolak nasihat pembubaran DUN dengan budi bicaranya.
“Yang menjadi masalah dan bukan dalam bidang kuasa prerogatif atau budi bicara TYT adalah jika dia membubarkan DUN tanpa nasihat daripada Ketua Menteri; dalam kes di Melaka baru-baru ini ia jelas dan nyata bukanlah halnya.
“Sebab itu jika ia ditafsir seperti ahli parlimen PKR itu kata yang kononnya jika TYT tolak nasihat bubar DUN ia ikut budi bicara dan jika dia terima nasihat ia bukan budi bicara, maka tafsiran ini adalah mengarut,” katanya. – Malaysiapost

