KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) akan meneliti cadangan untuk menjadikan pemandu e-hailing di ibu kota sebagai duta kementerian tersebut.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata perkara itu antara cadangan dikemukakan wakil Gabungan E-Hailing Malaysia (GEM) dan Persatuan Kebajikan Pekerja Industri E-Hailing Malaysia (PKEH).
“Banyak perkara yang dibawa oleh pihak GEM dan PKEH untuk dibincangkan bersama saya pagi ini.
“Antaranya berkenaan soal insurans, cadangan untuk menjadikan pemandu-pemandu e-hailing ini sebagai duta KWP dan pelbagai lagi perancangan program yang boleh dilakukan antara pihak kementerian bersama mereka.
“Insya-Allah saya akan teliti setiap perkara yang dibincangkan tadi dan akan cuba membantu mana-mana ruang yang boleh memandangkan perkhidmatan e-hailing ini terletak di bawah bidang kuasa pelbagai kementerian,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini, selepas mengadakan perbincangan dengan wakil kedua-dua gabungan tersebut.
Jalaluddin berkata, pihaknya berharap pembukaan kembali sektor-sektor ekonomi ketika ini sedikit sebanyak dapat membantu menjana pendapatan para pemandu e-hailing seperti biasa sebelum adanya pandemik ini. Insya-Allah,” katanya. – Malaysiapost

