BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berharap kerajaan akan mempergiatkan usaha menambah semula dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) selepas ekonomi kembali pulih dan tidak lagi membuat pengeluaran untuk tujuan lain.
Beliau berkata, ia kerana dana KWAN adalah wang untuk kegunaaan generasi akan datang.
“Semalam, Rang Undang-Undang (RUU) KWAN (Pindaan) 2021 diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat bagi perolehan vaksin.
“Nilai Tabung simpanan KWAN naik dari RM4 bilion pada tahun 2008 ke RM17 bilion pada akhir 2017 tanpa sebarang pengeluaran dalam tempoh itu.
“Tabung itu masih memberi kadar pulangan yang agak baik sekitar tujuh peratus atau RM1.2 bilion setahun ketika itu,” katanya Ahli Parlimen Pekan itu hari ini.
Bagaimanapun, Najib berkata, dana KWAN dikorek sebanyak RM5 bilion untuk membiayai sepenuhnya program vaksinasi untuk menyelamatkan negara.
Jelasnya, langkah yang lebih tepat adalah meminjam dengan kadar sukuk tiga peratus berbanding mengeluarkan dari tabung pelaburan yang masih memberi purata kadar pulangan sebanyak tujuh peratus setahun.
“Namun langkah mengguna dana dari Tabung KWAN telah dibuat pada bulan April semasa darurat dan wang sudahpun dibelanja. Sebab itu, kita terpaksa luluskan pindaan RUU tabung KWAN semalam,” katanya.
Semalam Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mendedahkan bahawa RM15 bilion masih tersisa dalam tabung KWAN setelah RM5 bilion digunakan, untuk mendapatkan vaksin Covid-19. – Malaysiapost

