Mat Sabu nak belajar cari duit jutaan ringgit

0
1

KETUA Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menyuarakan pentingnya membahaskan usul Kertas Pandora yang dicadangkannya, namun ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Beliau menyuarakan perkara itu kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, di Dewan Rakyat, hari ini.

Keadaan Dewan Rakyat turut gamat apabila Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu secara sindiran kepada pihak lain meminta Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak ‘cemburu’ berhubung pendedahan Kertas Pandora berkenaan.

“Janganlah rasa cemburu kita nak belajar cari duit. Saya empat penggal jadi Ahli Parlimen, tak ada pun duit juta-juta. Saya tengok ada menteri ada RM900 juta dalam bank, RM2 juta wang poket.

“Saya nak belajar cari duit begitu mudah tu, ni Port Dickson (Anwar) sibuk sangat kenapa,” sindirnya yang turut membuatkan Anwar ketawa dengan perkara itu.

Anwar yang juga Presiden PKR membalas dengan menasihatkan Presiden Amanah itu supaya tidak mempelajarinya kerana ia akan merosakkan negara.

Anwar sebelum itu mengkritik tindakan menolak cadangan usul yang dibuatnya dan menyifatkan ia sebagai helah untuk menutup ruang perbahasan mengenai pendedahan Kertas Pandora itu.

“Saya dah bawa usul ini dua kali sejak minggu lepas dan semalam Speaker tolak sekali dan hari ini ia ditolak lagi, ia adalah masalah teknikal kecil untuk bencana kewangan yang besar.

“Mana nak pilih? Hari ini adalah hari terakhir, janganlah dolak dalik,” katanya.

Anwar dalam pada itu turut menempelak ‘pejuang Islam’ di dalam kerajaan yang tidak berani bersuara menekan kerajaan membahaskan isu berkenaan.

“Hal ini saya tegaskan kerana ia belum disuarakan oleh pejuang Melayu dan juga pejuang Islam, bagi saya ia bercanggah dengan apa yang dilaungkan sebagai jaguh pertahankan hak tetapi kita mengizinkan kebatilan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rashid berkata, usul yang dibawa Anwar sudah diterima semalam dan ia masih dalam pertimbangan untuk diluluskan.

“Rayuan usul berkenaan telah diterima semalam dan perlu notis dua hari untuk diluluskan dan ia masih dalam pertimbangan dalam tempoh mesyuarat Dewan Rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here