Tak perlu darurat, sistem feudal untuk keluar dari pandemik

0
2
Datuk Razlan Rafii

TIDAK perlu darurat atau sistem feudal namun kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjaya negara keluar daripada masalah pandemik Covid-19 dengan menobatkan Perlembagaan ke tahap paling tinggi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata kerajaan kini ditakbir dengan memfokuskan kepada penyelesaian rakyat, bukannya berkisar dendam dan kekuatan parti tertentu.

Katanya, banyak tohmahan diberikan semasa pembikinan kerajaan hari ini, namun kini hasil yang dicapai telahpun terbukti.

Mohd Razlan berkata, negara kini telah mencapai kadar vaksinasi populasi dewasa 90 peratus dan rentas negeri serta negara dibuka dengan selamat.

“Tidak perlu melaksanakan darurat atau sistem feudal tetapi kerajaan sekarang menobatkan Perlembagaan Malaysia ke tahap yang paling tinggi dalam membawa negara keluar dari masalah pendemik.

“Berkat usaha ramai pihak, negara kembali diyakini semua golongan, bukan hanya kepada pelabur, malah rakyat selesa dengan kaedah dan tindakan diambil kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Ismail Sabri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Susulan itu, beliau berkata semua pihak harus belajar daripada kesilapan memilih dan mentadbir kerajaan bukan dengan dendam sehingga rakyat menjadi mangsa.

Katanya, dalam tempoh tiga tahun, banyak peristiwa dan sejarah pentadbiran parti politik berlaku, oleh itu seelok-eloknya jangan biarkan negara terjerumus dalam masalah sekali lagi.

“Berterima kasihlah kepada pejuang yang tidak didendang, kepada semua petugas kesihatan, petugas keselamatan malah kepada semua penjawat awam yang bekerja tidak kira masa dan penat, mereka menurut sahaja perintah pihak atasan untuk bekerja tanpa khuatir nyawa dipertaruhkan.

“Kepada pejuang parti Umno, yang terus menerus menyatuni rakyat di seluruh negara, anda beranikan diri berkunjung ke rumah memberi bantuan, sapa meraka yang sakit, menghulurkan tangan kepada rakyat memerlukan, andalah pejuang yang memasak akar Umno agar tidak mudah tercabut pokoknya sekira ribut melanda.

“Kepada NGO-NGO yang menguruskan makan rakyat, kuburan si mati dan banyak lagi yang menyumbang, mereka inilah pejuang yang tidak didendang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here