SINAR harapan kian cerah buat Malaysia untuk keluar daripada pandemik Covid-19, namun perjalanan masih jauh untuk kembali merekodkan kes harian hanya dua angka dan kes kematian harian satu angka, kata veteran DAP Lim Kit Siang.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, berkata semasa darurat diisytiharkan pada 11 Januari lalu untuk melawan pandemik Covid-19, negara merekodkan 2,232 kes harian baharu Covid-19.
Menurutnya, ketika itu jumlah keseluruhan direkodkan adalah 138,2254 kes, empat kematian harian direkodkan dengan 555 kes kematian terkumpul.
“Berbanding 7,373 kes harian baharu yang dicatatkan semalam, dengan jumlah keseluruhan sebanyak 2,339,594 kes, angka korban harian sebanyak 64 orang dengan jumlah keseluruhan kematian sebanyak 27,329 kes.
“Kali terakhir kita merekodkan kes jangkitan tiga angka adalah pada 8 Disember 2020, ketika itu kita merekodkan 851 kes baharu.
“Kali terakhir kita merekodkan kes dua angka adalah pada 30 September 2020 di mana 89 kes direkodkan dan kali terakhir kita merekodkan kes satu angka pula adalah pada April tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, susulan pengumuman kebenaran rentas negeri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diperkenalkan sebelum ini nampaknya telah dihentikan.
“Kita harus tetap berjaga-jaga dalam menangani keadaan yang pantas berubah ini kerana masih banyak belum kita ketahui tentang pandemik Covid-19 ini,” katanya.
Menurutnya, persoalannya kini adalah bilakah Malaysia akan kembali ke masa sebelum darurat, dimana kes harian Covid-19 menurun kepada 2,232 kes dan kes kematian harian akibat wabak itu menurun kepada empat kes. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook/Lim Kit Siang

