‘Polis pun boleh siasat buku Tommy Thomas’ – Ibrahim Ali

0
1

PARTI Bumiputera Pesaka Malaysia (PUTRA) membidas langkah kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat dakwaan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas di dalam buku penulisannya.

Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali, berkata pasukan petugas khas itu tidak mempunyai kuasa yang meluas untuk melakukan siasatan dan boleh memberi implikasi tentang kewibawaan polis dan Jabatan Peguam Negara dalam menyiasat isu berkenaan.

“Setakat nak mengkaji ada kes atau tidak polis boleh atau Jabatan Peguam Negara pun boleh tanpa perlu untuk tubuhkan pasukan penyiasat khas yang tiada kuasa undang-undang untuk panggil saksi-saksi, untuk rakamkan percakapan atau untuk mendapatkan dokumen-dokumen yang diperlukan.

“Untuk kajian, patut Peguam Negara dah boleh buat kajian dan nasihat Kabinet. Untuk siasatan, dah ada polis report, biarlah polis siasat.

“Pasukan petugas khas Siasatan ini akan memberi implikasi tentang kewibawaan institusi polis dan peguam negara sehingga perlu tubuh pasukan khas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas mengenainya, Ibrahim menegaskan, sepatutnya pihak polis hendaklah melakukan siasatan terhadap dakwaan yang terkandung dalam buku yang ditulis Tommy Thomas itu kerana terdapat laporan polis telah dibuat ke atasnya.

“Kenapa tidak dibiarkan siasatan khas dibuat oleh pihak polis sahaja kerana laporan polis telah dibuat atau kenapa tidak Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sahaja kerana RCI ada undang-undang tubuhnya dibawah undang-undang.

“Akan tetapi pasukan penyiasat khas yg ditubuhkan dengan diketuai oleh bekas hakim ini apa asas undang-undang ditubuhkan, apa kuasa undang-undang untuk lakukan siasatan?

“Yang ada kuasa menyiasat adalah polis atau agensi penguatkuasa mengikut jenis kesalahan yang dikatakan dilakukan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah pasukan petugas khas siasatan bagi membuat kajian awal sebelum sebarang tindakan seterusnya diambil terhadap dakwaan Tommy di dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness”.

Perdana Menteri berkata, pasukan petugas itu akan dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara yang akan dilantik dalam masa terdekat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here