DETIK rakyat Malaysia bakal menikmati perjalanan merentas negeri semakin hampir apabila hanya 0.3 peratus sahaja lagi diperlukan untuk melengkapkan 90 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi.
Berdasarkan data yang tertera di laman COVIDNOW, kadar pemberian vaksin lengkap populasi dewasa di Malaysia yang direkodkan sehingga jam 11.59 malam tadi telah mencecah pada tahap 89.7 peratus.
Peratusan lengkap vaksinasi itu membabitkan seramai 21,003,074 individu, selain populasi dewasa belum lengkap divaksinasi direkodkan sebanyak lima peratus atau 1,172,944 orang dan tiada vaksinasi (1,233,582 atau 5.3 peratus).
Kelonggaran perjalanan rentas negeri akan dinikmati orang ramai apabila kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa mencapai 90 peratus, seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada 22 September lalu.
Larangan perjalanan rentas negeri itu dikuatkuasakan kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menerusi pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bagi membendung penularan Covid-19, mulai 31 Mei lalu.
Seramai 20,389,622 atau 62.4 peratus keseluruhan populasi di negara ini direkodkan lengkap divaksinasi, manakala belum lengkap divaksinasi (3,255,715 atau 10 peratus) dan tiada vaksinasi (9,012,063 atau 27.6 peratus).
Angka itu membabitkan pemberian 141,897 dos vaksin Covid-19 kepada penerima, masing-masing 39,183 dos pertama dan 102,714 dos kedua, menjadikan jumlah kumulatifnya meningkat kepada 45,521,196 dos. – Malaysiapost

