ORANG Melayu tidak perlu banyak parti politik, kerana ia hanya akan menyebabkan orang Melayu berpuak-puak, tegas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid
Menurutnya, Umno sudah cukup bagi orang Melayu dan tiada keperluan menubuhkan parti politik yang baharu.
“Umno satu sudah cukup, ni kalau buat bagi banyak lagi, kita akan berpuak-puak.
“Ikutlah pakat-pakat dalam satu organisasi,” katanya ketika diminta mengulas mengenai usaha Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mewujudkan ‘Umno lama’.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Hari Sukan Negara 2021 (HSN 2021) peringkat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), di Putrajaya, hari ini.
Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, berkata adalah lebih baik menyertai parti politik sedia ada di negara ini daripada mewujudkan parti baru.
Sementara itu, mengulas mengenai usaha menubuhkan sebuah lagi parti politik baharu iaitu Parti Kuasa Rakyat, beliau sekali lagi menegaskan pada masa ini sudah terlalu banyak parti politik dalam kalangan orang Melayu.
“Orang Melayu yang banyak sangat parti ni, rakan-rakan kaum Cina dan India tidak sebanyak orang Melayu. Tak tau lah apa matlamat mereka (tubuh parti baharu),” katanya.
Semalam, Tengku Razaleigh atau lebih dikenali dengan panggilan Ku Li mendakwa hasratnya untuk menghidupkan semula Umno lama telah mendapat sambutan luar jangkaan daripada ahli-ahli Umno.
Veteran Umno itu berkata, sambutan yang baik telah diterimanya itu terdorong akibat kebimbangan ahli-ahli Umno mengenai kedudukan parti orang Melayu itu yang kian hilang cengkaman dalam landskap politik negara. – Malaysiapost

