DUA penunggang motosikal ditangkap Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu selepas melakukan ‘aksi’ berbahaya di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), semalam.
Remaja lelaki berusia 18 dan pemuda 21 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan iaitu di kawasan rehat dan rawat (R&R) Ajil dan Bukit Besi dalam Operasi Samseng Jalanan dijalankan Skuad 42 JSPT Terengganu.
JSPT Terengganu dalam satu perkongsian di Facebook, memaklumkan remaja pertama berusia 21 tahun yang ditahan menunggang motosikal dari Kampung Sura, Dungun hendak menuju ke Pantai Penarik, Setiu untuk bersiar-siar.
“Semasa melalui Lebuhraya LPT 2, remaja itu menunggang motosikal sambil meniarap di atas tempat duduk motosikal (ala Superman) berulang kali sejauh 12 kilometer.
“Remaja kedua pula berusia 18 tahun pula menunggang motosikal dari Bukit Payong, Marang menuju ke Taman Rekreasi Tasik Puteri, Bukit Besi juga untuk bersiar-siar.
“Semasa melalui LPT 2, remaja kedua itu menunggang motosikal sambil berdiri di atas tempat duduk motosikal dengan sebelah kaki dan melakukan aksi ‘wheelie’ berulang kali sejauh 200 meter,” katanya.
Menurutnya, Skuad 42 yang sedang menjalankan risikan di sepanjang LPT 2 dekat kawasan Ajil – Bukit Besi terserempak dan mengekori mereka sehingga tertangkap ketika mereka memberhentikan motosikal di R&R Ajil dan R&R Bukit Besi.
“Kedua-dua remaja itu bersama-sama dengan motosikal yang ditunggang oleh mereka telah dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu untuk siasatan.
“Mereka disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membahayakan diri sendiri dan juga pengguna jalan raya lain.
“Jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjarakan tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000,” katanya. – Malaysiapost

