‘Propaganda PH tipu rakyat, kenakan BN’ – Najib

0
1
1. Najib menjadi bekas ketua negara pertama didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara oleh mahkamah

DATUK Seri Najib Razak mendakwa kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu aliran keluar dana tidak sah dari Malaysia sebagai propaganda Pakatan Harapan (PH) menipu rakyat untuk mengenakan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipimpinnya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Anwar memetik laporan institusi dari Washington DC ‘Global Financial Integriti’ (GFI) berhubung aliran keluar dana tidak sah untuk memberi gambaan seolah-olah ratusan bilion Ringgit telah dicuri dan dibawa lari keluar dari Malaysia oleh ahli politik dan penjenayah.

“Ini adalah propaganda PH sekian lama sejak tahun 2012 untuk menipu Rakyat untuk mengenakan kerajaan BN masa saya PM,” katanya menerusi Facebook.

Menurut Najib, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) beliau pernah menjelaskan bahawa laporan GFI ini sebenarnya lebih merujuk kepada kegiatan “trade misinvoicing”.

Katanya, ia adalah kaedah syarikat-syarikat Malaysia serta MNC untuk mengelak cukai dengan mengambil kesempatan atas perbezaan kadar cukai antara negara.

“Masa itu, saya tanya kenapa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu hapuskan satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah ini (pemansuhan GST).

“Tanpa GST, kita tidak lagi berupaya untuk mengurangkan cukai pendapatan atau korporat dan ini akan memberi kesan buruk kepada daya saing negara ini sebagai tumpuan perniagaan dan pelaburan,” katanya.

Mengulas lanjut, Najib berkata, mengurangkan kadar cukai korporat juga penting dalam menangani masalah pengaliran keluar dana haram (illicit capital outflow) di mana ia sudah pun menjadi satu masalah kepada negara sebelum beliau dilantik sebagai menteri kewangan atau Perdana Menteri.

“Sebagai contoh pada 2004 dan 2005, 21.2 peratus dan 24.6 peratus KDNK negara ini hilang ekoran pengaliran keluar modal tidak sah ke negara-negara jiran.

“Ini adalah satu jumlah yang besar di mana Malaysia tidak menerima sebarang manfaat malah tidak boleh mengenakan cukai namun dinikmati negara lain,” katanya.

Menurut Najib, sebanyak 80 peratus daripada pengaliran modal tidak sah itu adalah ekoran harga tidak betul dalam perniagaan dan berikutan perbezaan cukai korporat antara negara.

“Sebagai contoh, sebuah pengilang berpusat di Malaysia di mana cukai korporat adalah 28 peratus boleh menjual barangan mereka secara murah kepada syarikat pengedar dimiliki mereka di mana kadar cukai adalah 17 peratus.

“Dengan berbuat demikian, pengilang itu dapat mengelak daripada membayar cukai yang banyak tetapi negara lain dapat mengutip cukai yang sepatutnya hak kita,” katanya.

Najib berkata, berikutan pemantauan yang lebih ketat dan pengurangan secara berperingkat cukai korporat ketika beliau menjadi Perdana Menteri, pengaliran keluar modal tidak sah ini telah berkurangan.

“(Ia berkurangan) sebanyak 10.5 peratus daripada KDNK bagi angka terakhir yang diperolehi bagi 2014 ataupun US$35.5 bilion (RM143.8 billion) pada tahun itu, di mana ia adalah satu penurunan yang besar berbanding 25.6 peratus sebelum ini.

“Masalah aliran keluar kewangan secara haram ini melibatkan jumlah beratus-ratus bilion.

“Sistem pengawasan yang lebih baik di bawah GST selain kemampuan untuk mengurangkan cukai korporat turut mengurangkan pengaliran keluar modal tidak sah. Namun, kita bakal kehilangan keupayaan ini tak lama lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, adalah sangat ironi bahawa PH yang memainkan isu aliran keluar dana haram ini untuk menipu rakyat tapi parti itu juga yang memansuhkan satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah ini.

“Lagi kelakar ialah hari ini juga mereka masih tidak berasa kesal atau malu untuk gunakan isu ini untuk terus menipu rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here