PAS tubuh Jawatankuasa Induk PRN Melaka – Idris

0
1

PAS menubuhkan Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak berkuasa kembali di Melaka.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, berkata jawatankuasa itu dipengerusikan Naib Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, jawatankuasa itu dibantu Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat serta Badan Perhubungan Pas Negeri Melaka untuk merangka pelan strategik sekiranya PRN dilaksanakan.

“Matlamat PAS di dalam PRN Melaka yang bakal diadakan itu sangat jelas iaitu untuk memastikan PH tidak lagi berkuasa di negeri itu.

“Mengenai jumlah kerusi yang akan PAS tandingi pula, ia sedang dibincangkan termasuk perbincangan dengan rakan parti lain secara bersama bagi mengukuhkan perpaduan memastikan PH tidak lagi berkuasa.” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyampaian Musa’adah Banjir kepada Sekolah Rendah Islam Bistari Darul Mulkan di Jalan Kuala Sepetang, Bukit Gantang, hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Idris menegaskan pegawai membabitkan 14 agensi di bawah Bahagian Agama, Jabatan Perdana Menteri yang didapati melakukan penyelewengan akan diambil tindakan tegas termasuk dipecat serta-merta.

Menurutnya, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kerana tidak mahu berkompromi dengan mereka yang tidak amanah dan tiada integriti dalam menjalankan tugas.

“Sekiranya ada penyelewengan berlaku, kita tidak teragak-agak untuk memecat pegawai terbabit dan orang seperti itu tidak perlu di simpan.

“Semua 14 agensi di bawah saya akan bertemu pada setiap Isnin bagi melaporkan apa yang mereka laksanakan dan saya sudah melantik seorang pegawai memantau bagi KPI 100 hari kementerian,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here