
KERAJAAN bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas bagi membuat kajian menyeluruh, berkenaan permohonan semakan undang-undang berhubung isu Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pasukan itu akan meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.
“Usaha ini bertujuan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh.
“Pasukan petugas khas ini akan dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, Jemaah Menteri juga telah membuat keputusan untuk mendapatkan pandangan undang-undang awal berkenaan tindakan undang-undang di bawah “Tort of Misfeasance ke atas mana-mana pihak yang didapati telah melakukan kecuaian dan kekhilafan ekoran tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh.
Perdana Menteri berkata, keputusan menubuhkan sebuah pasukan petugas khas dibuat dalam mesyuarat Kabinet semalam. – Malaysiapost
