Piala Thomas: Mungkin Malaysia pecahkan beregu hadapi Kanada

0
1

MALAYSIA tidak menolak untuk menurunkan beregu eksperimen dalam perlawanan sulung Kejohanan Badminton Piala Thomas yang bermula esok.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata, strategi itu mungkin digunakan bagi mengaburi musuh yang semakin memberi perhatian kepada skuad badminton negara susulan berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Sudirman minggu lalu.

Sesi latihan pertama di Ceres Arena hari ini, menyaksikan barisan pemain negara mula menyesuaikan diri dengan gelanggang kejohanan yang berlangsung di bumi Denmark kali ini, lapor Astro Arena.

Antara pemain yang mencuri tumpuan adalah kelibat Aaron Chia yang berpasangan dengan Nur Izzuddin Rumsani, manakala Soh Wooi Yik pula dilihat bergandingan dengan Tee Kai Wun sepanjang latihan itu.

Ia menimbulkan persoalan mengenai rombakan beregu lelaki menjelang pertemuan dengan Kanada pada Selasa ini, tetapi Choong Hann sebagai memberikan respons, berkata, dia akan mengadakan perbincangan dengan jurulatih, Flandy Limpele bagi menentukan gandingan terbaik untuk melayakkan pasukan ke suku akhir.

“Saya kira ia agak sedikit rumit buat masa ini kerana kami perlu memilih sama ada untuk menggunakan pemain muda bagi mendapatkan pengalaman atau menurunkan pemain utama untuk mereka mendapatkan suasana di dalam gelanggang.

“Itulah yang sedikit mengganggu fikiran, tetapi kami sedang melakukan penilaian sepanjang latihan selama dua hari di sini, jadi ia akan ditentukan kemudian,” katanya.

Kali terakhir Malaysia menjulang Piala Thomas pada 29 tahun yang lalu apabila skuad badminton negara yang diketuai Rashid Sidek berjaya menewaskan Indonesia 3-2 di Stadium Negara, Kuala Lumpur. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here