UMNO perlu memilih calon yang setia dan berprinsip sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi mengelak wakil rakyatnya melompat parti atau bersekongkol dengan mustuh parti.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno di Melaka bersekongkol dengan musuh parti adalah bukti mengapa Umno perlukan calon setia dan berprinsip.
“Berprinsip. Setia kepada parti. Rakyat diutamakan penting sebagai pegangan seorang pemimpin atau ahli Umno.
“Justeru tindakan dua Adun Umno sangat tidak wajar kerana atas apa pun alasan yang mereka beri ia tetap salah. Mana boleh mengheret parti, apatah lagi bersekongkol bersama musuh parti bagi menjayakan matlamat peribadi.
“Maka Umno mesti tegas. Pilih calon Umno BN selepas ini yang betul setia, berprinsip supaya maruah parti tidak digadai dan dijual beli. Saya yakin ahli dan penyokong Umno setuju,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya.
Shamsul Anuar berkata, keputusan parti memecat keahlian mereka berdua sangat tepat kerana Umno tidak perlukan pemimpin seumpama itu.
“Pemecatan ini juga bukti Umno tidak bersetuju tindakan itu. Semuanya menyusahkan rakyat dan merugikan parti,” katanya.
Baru-baru ini, empat Adun termasuk dua dari Umno menarik sokongan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sekali gus menyaksikan kerajaan negeri ditunjangi Umno hilang majoriti.
Sehubungan itu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata keahlian kedua-kedua Adun iaitu Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan dalam Umno tergugur serta-merta. – Malaysiapost

