Sultan Ibrahim murka pengemudi bot khayal dadah pandu berbahaya

0
1

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar murka dengan kejadian pengemudi bot yang membawa bot secara berbahaya kerana di bawah pengaruh dadah di Mersing, semalam.

Sehubungan itu, baginda mahu agensi penguatkuasa meningkatkan rondaan dan bertindak tegas terhadap pihak melanggar peraturan supaya kejadian memalukan imej pelancongan Johor itu tidak berulang.

“Saya kesal kejadian berlaku betul-betul di depan mata saya. Saya lihat mereka bawa bot penumpang dengan laju dan berbahaya dekat jeti Pulau Rawa.

“Saya arahkan pihak polis menahan bot tersebut yang dalamnya ada membawa satu keluarga dengan anak-anak kecil untuk aktiviti ‘island hopping’,” titah Baginda di Facebooknya.

Media hari ini melaporkan polis menahan dua lelaki selepas didapati mengendalikan bot secara berbahaya dan positif dadah ketika rondaan di perairan Mersing berhampiran Pulau Rawa.

Suspek berusia 22 dan 26 tahun yang dipercayai tekong dan awak-awak itu ditahan pada jam 10 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Mersing, Supt Cyril Edward Nuing, hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua pengemudi bot berkenaan positif dadah jenis meth.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here