KEMUDAHAN di Klinik Kesihatan (KK) Segambut akan ditambah dengan pembinaan ruang menunggu baharu bagi menampung peningkatan jumlah pesakit.
Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, berkata pihaknya menerima aduan pertambahan pesakit berlaku di klinik berkenaan ketika pandemik Covid-19 sedang memuncak sebelum ini.
Menurutnya, kesesakan itu kelak akan dapat diatasi dengan penyediaan ruang menunggu yang lebih luas dan selesa kepada pesakit di kawasan yang terletak bersebelahan di klinik berkenaan.
“Sebelum ini, klinik ini merupakan klinik ibu dan anak. Ketika itu klinik memang kecil. Kemudian masa pandemik Covid-19, perkhidmatan klinik ini bertambah, dinaik taraf menjadikan bilangan pesakit pun bertambah.
“Kawasan sekeliling banyak kampung dan taman perumahan. Jadi memang padat dengan penduduk. Kita lihat tempat pesakit menunggu dah sesak, ramai ibu dan bayi datang.
“Jadi kita perlukan ruang yang lebih besar untuk jaga prosedur operasi standard (SOP), untuk keselesaan pesakit, doktor dan jururawat di sini,” katanya yang membuat lawatan tapak ruang tambahan di sebelah KK Segambut, hari ini.
Hannah berkata, pegawai perubatan klinik berkenaan juga mengakui isu kesesakan dan kekurangan fasiliti yang dihadapi klinik berkeaan.
“Klinik ini juga memberi perkhidmatan ujian saringan Covid-19, dan ianya akan berterusan dengan kehadiran pesakit yang ramai.
“Jadi tapak yang bersebelahan ini dapat kita gunakan untuk memberi keselesaan kepada pesakit, klinik ini dah terlalu sesak, dan kita hanya menunggu surat kebenaran secara rasmi daripada pihak Jabatan Tanah dan Galian Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga akan membantu mencari dana dalam menyediakan kemudahan seperti kipas, kerusi, dan peralatan yang lain.
“Saya beri jaminan dalam bulan ini, kawasan ini boleh beroperasi, ruang menunggu yang lebih luas, pesakit jadi lebih selesa dan doktor serta jururawat tidak stress lagi dengan masalah sebelum ini,” katanya. – Malaysiapost

