ANGGOTA tentera yang disyaki mencabul seorang wanita dengan menjilat tangan mangsa di sebuah kedai vape di Taman Keramat, Kuala Lumpur telah ditahan hari ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, lelaki berusia 26 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Setiawangsa, jam 12.30 tengah malam tadi.
“Dalam serbuan itu, kami turut merampas pakaian seragam dipercayai dipakai suspek ketika kejadian.
“Siasatan awal mendapati suspek bertugas di Cawangan Tentera Darat, Kem Batu Kentonmen, Kuala Lumpur dan berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama tujuh tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamad Farouk berkata, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah.
“Permohonan reman terhadap suspek dibenarkan selama empat hari bermula hari ini sehingga 10 Oktober. Siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dijalankan,” katanya.
Semalam, media melaporkan pekerja wanita sebuah kedai vape di Taman Keramat trauma selepas menjadi mangsa cabul lelaki memakai pakaian seragam tentera.
Mangsa berusia 18 tahun didatangi suspek yang ingin membeli barangan vape sebelum dia keluar selepas selesai berurusan, namun masuk semula ke dalam kedai dan memberitahu pod vape dibelinya tidak berfungsi.
Selepas diperiksa, mangsa kemudian menyerahkan pod vape terbabit dan ketika itu, suspek mengambil kesempatan memegang serta menjilat tangan mangsa.
Suspek hanya melepaskan tangan mangsa dan beredar dari tempat kejadian selepas diberitahu premis terbabit dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV). – Malaysiapost

