Rohingya: Malaysia pro aktif berkerjasama dengan negara ASEAN

0
1

[PARLIMEN] MALAYSIA tidak bersendirian dalam usaha menghentikan pengusiran etnik Rohingya dari Myanmar.

Sebaliknya Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata Malaysia sentiasa pro aktif bekerjasama dengan negara ASEAN dalam menagatasi isu berkenaan.

Katanya, ASEAN mempunyai pengaruh lebih besar bagi mengubah haluan Myanmar untuk kembali ke landasan demokrasi seperti dimandatkan rakyatnya menerusi pilihan raya.

Selain itu, Saifuddin berkata, hasil pertemuan tergempar diadakan di peringkat pemimpin ASEAN bagi membincangkan isu berkenaan bersama wakil tentera Myanmar pada 24 April lalu.

Beliau berkata, ASEAN kini sedang melaksanakan Konsensus Lima Perkara seperti dipersetujui, bermula dengan bantuan kemanusiaan untuk Myanmar.

“Kita telah diberi taklimat oleh utusan khas bahawa Naypyidaw tidak memberikan kerjasama mengenai Konsensus Lima Perkara, pada mesyuarat Menteri Luar ASEAN, kelmarin.

“Justeru, Malaysia berpendapat, sukar untuk mengundang Ketua Tentera sedang berkuasa di Naypyidaw menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN pada 26 hingga 28 Oktober ini, jika tiada kemajuan dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara.

“Namun, proses melaksanakan Konsensus Lima Perkara masih diusahakan dengan ‘whatever is humanly possible’ oleh utusan khas (Myanmar),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Saifuddin berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Wong Chen (PH-Subang) mengenai kesediaan Malaysia secara unilateral memulakan rundingan dengan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar berhubung isu Rohingya.

Beliau menambah, Malaysia sentiasa menjadi negara pertama menjalankan libat urus konstruktif bagi menyelesaikan isu Rohingya, walaupun sebelum Myanmar menjadi anggota ASEAN.

Di peringkat ASEAN katanya, Malaysia adalah negara paling konsisten dan lantang mengutarakan isu pelarian Rohingya, selain menyokong kuat usaha ASEAN memudah cara repatriasi pelarian Rohingya kembali ke Myanmar.

Saifuddin juga memaklumkan, kira-kira 200,000 pelarian Rohingya berada di Malaysia ketika ini.

“Malaysia juga melihat kebertanggungjawaban atau akauntabiliti ke atas pengusiran etnik Rohingya ini dapat dicapai melalui Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

“Etnik Rohingya mungkin akan mendapat pembelaan sewajarnya dan pengusiran serta pencabulan hak asasi etnik berkenaan boleh dihentikan,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Saifuddin Abdullah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here