EMPAT Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang diketuai Adun Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron akan ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong esok.
Menerusi audio berdurasi empat minit itu, salah seorang lagi daripada mereka iaitu Adun Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee, memaklumkan pertemuan itu akan turut disertai 11 Adun Pakatan Harapan (PH).
“Esok kami akan menaiki bas ke Istana Negara dan cadangan ini sudah dipersetujui semua pihak.
“Cadangan ini (menghadap) disuarakan Datuk Seri Idris Haron dan esok kami akan bertolak ke istana,” katanya seperti dilapor MalaysiaGazette.
Norhizam berkata, pihaknya tidak berpuas hati dengan keputusan pembubaran DUN Melaka.
“Ini kerana pada mereka, PH dan pihaknya belum menerima sebarang maklum balas sama ada daripada pejabat Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam mahu pun Istana Melaka.
“Pandangan kami, pengisytiharan pembubaran DUN secara tergesa-gesa semalam bertentangan dengan apa yang diamalkan di pentadbiran pusat oleh Agong.
“Di peringkat pusat, sebelum membuat keputusan, baginda mendapatkan nasihat daripada semua pihak termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hakim dan Peguam Negara serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebelum keputusan dibuat demi kesejahteraan rakyat serta kepentingan negara,” katanya.
Mengulas lanjut, Norhizam menegaskan, situasi di Melaka juga tidak boleh disamakan dengan kerajaan Sarawak kerana negeri itu masih mempunyai kerajaan dan majoriti.
“Adalah tidak adil untuk lantik kerajaan yang sudah tumbang sebagai ‘care taker’ sementara menanti keputusan SPR melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) atau pengisytiharan darurat untuk dilaksanakan,” katanya.
Terdahulu, Norhizam, Idris dan dua lagi iaitu Adun Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan dan Adun Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad sebelum ini bertindak menarik balik sokongan mereka terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Ia mengakibatkan kerajaan negeri yang dibina di bawah Perikatan Nasional (PN) jatuh kerana kehilangan majoriti.- Malaysiapost

