PEMILIK kereta Myvi yang tular selepas didakwa bergaduh dengan kekasih sehingga menyebabkan wanita berkenaan nekad terjun dari kereta, menafikan perkara itu.
Menerusi pengakuan yang dibuat melalui saluran Youtube Amirul Syakir semalam, lelaki itu menafikan mereka pasangan kekasih serta menjelaskan wanita tersebut terkena gangguan.
“Saya hendak jelaskan kami bukan pasangan bercinta dan hanyalah rakan sekerja, ketika itu kami keluar mencari barang-barang untuk buat ‘content’.
“Ketika itu dia terkena gangguan sehingga suaranya berubah, semasa saya tengah bawa kereta dia menjerit meracau-racau dan tak tahu nak buat apa, ketika itu saya tekan lampu isyarat kecemasan sebab nak selamatkan keadaan,” katanya.
Katanya, ketika kejadian dia tidak sempat untuk menarik rakannya itu kerana kejadian berlaku terlalu pantas.
“Waktu itu pintu kereta terbuka dan saya tidak sempat tarik dia sebab pakai ‘seat belt’, tiba-tiba dia hilang.
“Rupa-rupannya dia dah di seberang jalan dan selepas itu baru saya tutup pintu dan matikan lampu isyarat kecemasan terus buat pusingan U untuk mencarinya,” jelasnya.
Semalam, tular video memaparkan seorang gadis nekad terjun daripada sebuah kereta selepas didakwa bertengkar dengan kekasihnya yang juga memandu kenderaan tersebut.
Seorang pengguna media sosial mengakui nyaris melanggar wanita itu selepas dia bertindak keluar daripada Perodua Myvi yang ketika itu sedang dipandu di jalan utama.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor berdekatan Universiti Selangor. – Malaysiapost

