AHLI Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah jalan terbaik menyelesaikan krisis politik Kerajaan Melaka.
Beliau yang senada dengan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung perkara itu, berkata sekiranya kerajaan baharu terbentuk ia hanya sebuah kerajaan dengan majoriti mudah.
“Elok bubar sahaja DUN Melaka. Kalau bentuk kerajaan baru pun, ia adalah kerajaan majoriti lemah iaitu 15-13.
“Ia boleh tumbang lagi dengan majoriti 2 kerusi,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Mohd Puad menyifatkan alasan empat individu yang menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali adalah remeh.
“Punca tarik sokongan amat remeh. (Datuk Seri)Idris Haron mahu kembali jadi Ketua Menteri,” katanya.
Semalam, krisis politik di Melaka tercetus apabila ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron mengumumkan beliau bersama tiga lagi wakil rakyat hilang kepercayaan kepada Ketua Sulaiman dan kerajaan negeri.
Selain Idris, tiga ADUN yang terlibat ialah ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; Adun Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan Adun Pantai Kundor, Datuk Noor Azman Hassan. – Malaysiapost

