PAKATAN Hatapan (PH) dijangka akan mengadakan sidang media di sebuah hotel di Banda Hilir pagi ini, dipercayai mempunyai kaitan dengan kemelut Kerajaan Melaka.
Memetik laporan Utusan Malaysia, sidang akhbar pembangkang akan diadakan jam 10 pagi, namun belum terdapat sebarang jemputan rasmi diterima pengamal media.
Figura utama yang dikaitkan dengan rancangan menumbangkan kerajaan negeri diterajui Umno, ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron ketika dihubungi menafikan penglibatan beliau dalam sidang akhbar berkenaan.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali juga dikhabarkan akan membuat sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, spekulasi kini bertiup kencang mendakwa, kerajaan negeri Melaka yang diterajui Umno bakal tumbang pada bila-bila masa.
Ini berikutan empat ADUN kerajaan dikatakan akan melompat ke PH dan difahamkan, keempat-empat ADUN berkenaan sudah menandatangani Akuan Bersumpah (SD).
Empat wakil rakyat yang disebut-sebut ialah Norhizam Hassan dan Noor Effandi, selain bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) dan Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor).
Untuk rekod kerajaan Melaka dipimpin oleh Sulaiman selepas PN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada PH tumbang Mac tahun lalu. – Malaysiapost

