Tiada Adun Warisan keluar parti

0
2

TIDAK ada seorang pun daripada 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parti Warisan Sabah (WARISAN) isytihar keluar parti untuk menjadi Adun bebas yang mesra kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Perkara itu disahkan Adun Darau, Azhar Matussin yang menafikan laporan sebuah portal online berhubung isu berkenaan.

Malah, Azhar menyifatkan laporan portal tersebut tidak berasas, sekali gus berniat memburukkan Adun Warisan yang tetap kekal setia bersama-sama parti itu.

“Seramai 15 Adun Warisan Sabah yang dilaporkan itu tetap dengan pendirian mereka membantu rakyat dengan mandat yang diberikan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 baru-baru ini.

“Saya bersama-sama dengan rakan lain akan berpegang kepada prinsip yang dilafazkan untuk terus kekal, sekali gus setia kepada kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Afdal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azhar yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Warisan Sabah berkata, setakat ini beliau yakin Adun lain tetap fokus membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19, terus berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sabah.

“Kita tetap fokus membantu rakyat yang sangat memerlukan perkhidmatan wakil rakyat di kawasan mereka. Kita tidak lari dengan pendirian asal selepas dilantik menjadi Adun untuk tetap dengan pendirian kekal bersama Warisan,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan Adun Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob yang dilaporkan media keluar daripada Warisan menjadi wakil rakyat bebas menyokong GRS, Azhar menjelaskan, perkara itu tidak berlaku.

Katanya, beberapa hari lalu beliau bersama beberapa Adun Warisan yang lain duduk serta berbincang dengan Dr Yusof berkaitan hala tuju parti pada masa depan.

“Dalam pertemuan ini tidak timbul soal beliau (Dr Yusof) akan keluar tinggalkan parti seperti mana yang ditimbulkan oleh sebuah portal online (Sinar Harian) malam tadi,” katanya.

Tegas Azhar, Adun Sindumin merupakan seorang rakan ahli politik yang matang, di samping turut memberi nasihat serta berkongsi berpengalamannya sepanjang kariernya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here