LAPAN individu tidak lengkap divaksinasi telah dikompaun polis kerana berkelah di persisiran pantai di sekitar daerah Kota Tinggi.
Berdasarkan kenyataan Polis Daerah Kota Tinggi, pasukan keselamatan itu telah melancar operasi bersepadu pemantauan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 di sekitar daerah Kota Tinggi, semalam.
Operasi diketuai Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin itu mendapati lapan individu tidak mematuhi SOP ditetapkan apabila didapati melakukan aktiviti perkelahan walaupun belum menerima vaksinasi lengkap.

“Seramai lapan individu warganegara telah dikenakan kompaun di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) (Pindaan) 2021 kerana berada di tempat riadah tanpa vaksinasi lengkap.
“Lokasi operasi pemantauan dibahagikan kepada dua Zon iaitu Zon Penawar dan Zon Kota Tinggi yang melibatkan pemantauan persisiran pantai pelancongan di bawah pentadbiran Balai Polis Kuala Sedili, Balai Polis Bandar Penawar dan Balai Polis Bayu Damai.
“Pemantauan operasi SOP ini lebih memfokuskan kepada pemeriksaan ke atas pengunjung dan membuat hebahan awam serta makluman mengenai pentingnya pematuhan SOP sepanjang PPN Fasa 2,” kata kenyataan itu di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, operasi bersepadu itu telah menahan empat warga asing atas kesalahan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan dengan cuai merebakkan penyakit berjangkit.
“Justeru, Polis Kota Tinggi mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan dan SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan agar penularan pandemik Covid-19 dapat diputuskan,” katanya. – Malaysiapost

