AHLI Parlimen Segambut dari DAP, Hannah Yeoh secara sinis menyatakan persidangan Dewan Rakyat kali ini yang sedang berlangsung sejak bulan lalu lebih tenang kerana tiada menteri dan timbalan menteri untuk menjawab persoalan wakil rakyat.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilaporkan berkata Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik ditandatangani kerajaan dan pembangkang menampakkan impak yang baik, antaranya persidangan Dewan Rakyat lebih tenang.
Hannah berkata kerusi di blok menteri dan timbalan menteri sentiasa kosong menyebabkan tiada perbahasan dua hala.
Macam mana tak tenang? Kerusi menteri dan timbalan menteri selalunya kosong. Nak bahas dengan kerusi kosong?
Kebanyakan soalan dijawab menteri “saya bagi secara bertulis nanti”. Mic (pembesar suara) selalu kena off kerana “ini bukan masa perbahasan” dan “Tak cukup masa”,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya.
Baru-baru ini, Perdana Menteri dalam satu sesi wawancara khas bersama editor kanan media dilaporkan berkata keadaan sekarang kelihatan agak tenang bukan sahaja di luar, malah di dalam Dewan Rakyat yang bersidang setiap Isnin hingga Khamis.
“Di luar lebih tenang tetapi serangan terhadap kerajaan seperti dahulu sudah berkurang. Walaupun pembangkang … saya dah beritahu mereka kekal sebagai pembangkang. Mereka kecam kerajaan itu kerja mereka, kita perlu semak dan imbang kepada kerajaan.
“Walaupun saya beritahu macam tu tapi keadaan agak kurang dari segi serangan kepada kerajaan di Parlimen. Di luar sana sangat sepi, tenang, ucapan pun tak ada yang agresif seperti dahulu setiap kali berucap mesti ada standing order (Peraturan Urusan Mesyuarat),” katanya.
Ismail Sabri berkata, keadaan sekarang menampakkan sikap saling hormat menghormati yang semakin tinggi dalam kalangan Ahli Parlimen. – Malaysiapost

