AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan menyalurkan keseluruhan keuntungan hasil jualan buku tulisannya bertajuk ‘Agent of Change’ kepada murid di kawasan Parlimennya untuk melanjutkan pengajian selepas sekolah.
Pengasas parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu berkata, antara projek utamanya ketika ini adalah melalui bukunya itu dan pada peringkat awal menyasarkan untuk menyumbang sebanyak RM1,000 kepada 222 murid.
Menurutnya, murid berkenaan adalah membabitkan sekolah rendah dan menengah di Muar melalui Geran Sepadan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
“Dengan setiap pembelian buku saya Agent of Change, keseluruhan keuntungan jualan buku akan saya salurkan kepada murid-murid di Muar untuk mereka melanjutkan pengajian selepas sekolah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Sementara itu, bercerita mengenai bukunya itu, Syed Saddiq memberitahu antara yang terkandung dalam buku berkenaan adalah mengenai pelaksanaan Undi 18 yang diperjuangkan selama ini.
“Alhamdulillah! Jumaat lepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah buka semakan pra-pendaftaran pemilih automatik untuk pengundi berumur 18 tahun ke atas dengan 5.8 juta pengundi muda diberikan suara baru.
“Saya sangat gembira kerana selepas hampir tiga tahun, dari dapatkan sokongan di Parlimen sehingga naik turun mahkamah, semuanya sangat berbaloi,” katanya.
Beliau mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang memperjuangkan isu pengundi berusia 18 tahun termasuk seluruh rakyat Malaysia.
“Saya dedikasikan satu bab khusus mengenai Undi 18 dalam buku baharu saya. Saya teruja untuk pengembaraan kami seterusnya dalam membawa pembaharuan yang bermakna ke Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

