Pemilihan MIC berlangsung bulan ini

0
1

MAJLIS Tertinggi MIC menetapkan pemilihan parti di peringkat sayap berlangsung bulan ini dengan penamaan calon pada 10 Oktober.

Presidennya, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, pemilihan dan mesyuarat perwakilan bagi sayap Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri parti berkenaan ditetapkan pada 17 Oktober.

“Bagi peringkat bahagian, penamaan calon akan berlangsung pada 17 Oktober, manakala mesyuarat dan pemilihan ditetapkan pada 24 Oktober,” katanya kepada media dipetik Malaysiagazette, hari ini.

Mengulas lanjut, Vigneswaran berkata, penamaan untuk pemilihan MIC di peringkat negeri, majlis tertinggi dan naib presiden ditetapkan pada 20 November dan pemilihan ditetapkan 27 November ini.

Beliau berkata, MIC memutuskan untuk mengadakan pemilihan parti kerana negara kini di bawah pentadbiran baharu dan sudah mula menunjukkan tanda untuk keluar daripada pandemik Covid-19.

“Banyak perubahan dari segi statistik (Covid-19) kini. Jadi MIC mengambil kesempatan untuk mengendalikan pemilihan parti,” katanya.

Menurut Vigneswaran pemilihan baharu membolehkan ramai muka baharu menyertai parti itu di peringkat akar umbi, bahagian dan negeri bagi menentukan corak dan hala tuju MIC pada masa depan sekali gus sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 nanti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here