Norhizam nafi terlibat gerakan jatuhkan kerajaan Melaka

0
1

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee menafikan terlibat dalam gerakan enam wakil rakyat kerajaan yang didakwa akan melompat menyokong Pakatan Harapan (PH).

Norhizam menegaskan, beliau tidak sesekali membuat pusingan U dan kembali menyokong parti lamanya iaitu DAP apa lagi baru-baru ini ‘bergaduh’ dengan wakil pembangkang dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), lapor Utusan Malaysia.

Buat masa ini, beliau masih menjalankan tugas selaku Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri seperti biasa.

“Semua orang boleh bercakap. Jadi, biarlah orang bercakap kerana itu mulut masing-masing.

“Saya baru bergaduh dengan pembangkang semasa sidang DUN minggu lepas. Saya juga selalu turun padang dan mungkin membuatkan mereka sakit hati kerana melihat saya buat kerja dengan tenang sekarang ini,” katanya.

Sebelum ini Norhizam antara yang disebut-sebut akan kembali menyokong PH susulan spekulasi kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali bakal tumbang.

Norhizam pernah memegang jawatan Timbalan Pengerusi DAP Melaka sebelum dipecat selepas menyatakan sokongan kepada penubuhan kerajaan baharu pada Mac 2020. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here