Tumpahan perwarna kilang tekstil punca banjir merah – JAS

0
2
{"source":"other","uid":"3F5F2710-B87A-4FF5-86BA-45E10FB6FDE2_1633166307653","origin":"unknown","fte_sources":[],"used_sources":"{"version":1,"sources":[]}","premium_sources":[],"is_remix":false}

KEJADIAN air banjir yang berwarna di kampung Sri Serdang Baru, Tampoi, Johor pada 30 September lalu dikenalpasti berpunca daripada pewarna lama dari sebuah kilang tekstil usang yang terletak berhampiran kampung berkenaan.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan media hari ini, memaklumkan siasatan yang dijalankan berdasar maklumat daripada penduduk kampung mendapati air berwarna merah itu adalah daripada tumpahan dari bekas sisa pewarna lama.

“Pemilik kilang memaklumkan bahawa premis tersebut telah wujud sekitar tahun 1940-an dengan keluasan 8.5 hektar dan tidak lagi menjalankan sebarang aktiviti kerana telah menghentikan operasi pada tahun 2000.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat tumpahan dari bekas sisa pewarna lama yang ditinggalkan di dalam kawasan kilang.

“Tumpahan ini dipercayai disebabkan hujan lebat dan struktur kilang yang tidak berbumbung selain bekas (beg) penyimpanan pigmen warna yang sudah reput,” menurut kenyataan itu.

Menurut JAS, air banjir bagaimanapun mulai surut sekitar jam 4.15 petang pada hari kejadian dan pemerhatian mendapati tiada lagi warna merah pada air banjir tersebut.

“JAS Negeri Johor telah mengeluarkan arahan lapangan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) kepada pemilik kilang supaya kerja-kerja pembersihan dan pelupusan segera dilakukan.

“Pihak kilang telah menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pemindahan sisa-sisa tumpahan dan bangunan tersebut telah ditutup dengan kanvas pada 30 September 2021 sehingga selesai,” katanya.

Khamis lalu media melaporkan penduduk kampung berkenaan dikejutkan dengan kejadian banjir merah yang berbau seperti minyak dan dibimbangi menjejaskan kesihatan mereka.

Fenomena banjir merah yang yang melanda kira-kira jam 5 pagi itu pertama kali berlaku di kampung berkenaan dan mengejutkan penduduk yang kemudiannya tular di media sosial. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here