Kes harian Covid-19 akan terus turun jika lebih ramai ambil vaksin – KJ

0
1

KES harian Covid-19 akan terus menunjukkan trend penurunan selepas ini sekiranya lebih ramai rakyat yang mengambil suntikan vaksin Covid-19, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Malaysia mencatatkan 10,915 kes baharu hari ini, sekali gus menjadi kes paling rendah yang pernah direkodkan sepanjang 76 hari lalu.

Menerusi ciapan di laman Twitternya, Khairy menasihatkan orang ramai agar terus patuh mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, selain itu jika anda bergejala maka segera buat ujian saringan swab dan melaporkan keputusan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), serta menjalani isolasi kendiri jika didapati positif Covid-19.

“Ia (kes harian) akan terus menurun sekiranya lebih ramai mengambil vaksin, ikuti SOP dan jika anda mempunyai simptom, segera buat ujian (laporkan hasilnya) dan isolasi jika positif.

“Ia bergantung pada ujian simptomatik dan pengasingan pantas. Kesedaran diri, ujian kendiri. Inilah yang diperlukan,” katanya dalam ciapan itu.

Terdahulu, kes harian Covid-19 yang dilaporkan hari ini menunjukkan trend penurunan dengan 10,915 jangkitan baharu menjadikan keseluruhan 2,268,499 kes direkodkan sejak wabak berkenaan melanda negara.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) dalam perkongsian data di laman Facebook hari ini, melaporkan 86.8 peratus populasi dewasa sudah lengkap vaksinasi, manakala 94.2 peratus mendapat sekurang-kurangnya satu dos. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here