PENGURUSAN sebuah tokong menyerah diri dan mengemukakan surat permohonan maaf kepada polis ekoran kekecohan di depan premisnya di Bandar Salak Selatan, Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur, 28 September lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata pihaknya menahan seramai 12 lelaki dan enam wanita berusia 18 hingga 84 tahun terbabit dalam kejadian dengan dua daripadanya dibebaskan atas usia.
Menurutnya, permohonan reman ke atas 18 suspek dibuat semalam dan 10 daripadanya direman sehari bagi membantu siasatan.
“Kertas siasatan lengkap sudah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan cadangan pertuduhan mengikut Seksyen 148, 186 dan 353 Kanun Keseksaan.
“Pertuduhan di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021 turut dicadangkan memandangkan suspek melanggar larangan berkumpul beramai-ramai di tempat awam,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Muhammad Idzam berkata kejadian jam 11.45 pagi itu berpunca rasa tidak puas hati pengurusan dan ahli tokong dalam perbincangan dengan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTG) yang ingin membina pagar penghadang untuk membina jalan sebagai laluan ke sekolah.
“Mereka bertindak menghalang dan memecahkan mesin jentolak menggunakan kayu serta menyerang anggota polis yang bertugas ditempat kejadian,” katanya.-Malaysiapost

