PRU15: Umno muktamad tolak Bersatu, PN

0
1
Sidang media penutup Perhimpunan Agung UMNO 2020

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan keputuan parti itu tidak bekerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah muktamad.

Beliau berkata keputusan itu bukan hanya ketetapan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) tetapi suara akar umbi pada Perhimpunan Agung Umno 2020.

“Umno juga mengambil pendirian menolak pembentukan gabungan politik PN dalam PRU15 dan berdiri teguh memperkasa Barisan Nasional (BN).

“Kesimpulannya, kesemua ketetapan Perhimpunan Agung Umno 2020 itu adalah berfokuskan kepada PRU15 yang akan diadakan sejurus pandemik Covid-19 dapat ditangani,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, PRU15 penting bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat demi mewujudkan kestabilan politik yang kukuh di negara ini.

“Berhubung pembentukan kerajaan Keluarga Malaysia sejurus kerajaan PN tumbang Ogos lalu adalah bagi memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan.

“Maka kelangsungan pentadbiran sebuah kerajaan yang cuma bersifat sementara sebelum Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU15,” ujarnya.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan sementara ini ditubuhkan dengan pertimbangan suasana politik yang masih tidak stabil sedangkan rakyat diancam pandemik Covid-19.

“Jadi, Umno perlu mengutamakan rakyat pada setiap masa sama ada dalam jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang. Begitu juga menjunjung kasih titah Raja-Raja Pemerintah.

“InsyaAllah kita yakin Umno dengan strategi dan gerak kerja yang telah dan sedang diatur akan mengembalikan kerajaan BN sebagai tonggak pentadbiran negara pada PRU15,” katanya.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here