KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memaklumkan kerajaan bersetuju memberi kelulusan bersyarat bagi penggunaan vaksin jenis CoronaVac keluaran Sinovac Life Sciences Co Ltd, China dan Pharmaniaga Lifesciences Sdn Bhd, Malaysia, kepada golongan berumur 12 tahun dan ke atas.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) yang bersidang hari ini.
“Ini merupakan vaksin Covid-19 kedua diluluskan untuk penggunaan bagi golongan remaja selepas kelulusan sama diberikan kepada vaksin Cominarty, keluaran Pfizer-BioNTech pada Jun 2021,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, katanya, PBKD menyarankan agar penggunaan vaksin CoronaVac dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun buat masa ini diutamakan kepada remaja tanpa komorbiditi dan yang mempunyai masalah alahan atau tidak sesuai untuk menerima vaksin Comirnaty.
Dr Noor Hisham berkata, penilaian bagi penggunaan CoronaVac dalam kalangan remaja dengan komorbiditi akan diteruskan sebaik sahaja data yang dikemukakan mencukupi.
Menurutnya, kelulusan pendaftaran bersyarat itu memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.
“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi vaksin tersebut kekal positif.
“KKM sentiasa komited mempertingkatkan akses kepada produk vaksin Covid-19 di Malaysia, dengan memastikan ia dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD,” katanya. – Malaysiapost

