JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Melaka hari ini tampil menjelaskan kekeliruan dalam kenyataan awal dikeluarkannya, berkaitan video tular remaja lelaki yang rebah di kawasan parkir sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri itu.
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr Rusdi Abd Rahman, berkata terdapat dua kejadian yang hampir sama dan berlaku di tempat sama iaitu PPV Encore semalam.
Katanya, kes pertama membabitkan remaja berumur 13 tahun dari sebuah sekolah menengah dan mempunyai janji temu di PPV Encore pada 30 September dan tiba di PPV bersama keluarga pada 11.43 pagi, menerima suntikan pada 12.01 tengah hari dan selesai pemerhatian pada 12.20 tengah hari.
“Semasa proses vaksinasi, remaja ini sangat gementar tetapi tiada sebarang kesan sampingan dilihat sejurus selepas vaksinasi atau sepanjang tempoh pemerhatian.
“Bagaimanapun, selepas selesai sesi pemerhatian dan dalam perjalanan ke kawasan parkir kenderaan, remaja ini tiba-tiba lemah dan rebah sehingga perlu dipapah ahli keluarganya masuk semula ke PPV bagi tujuan pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Rusdi berkata, pemeriksaan pegawai perubatan mendapati keadaan remaja itu stabil dengan tanda vital (tekanan darah, nadi dan paras oksigen dalam darah) normal, malah pemerhatian 30 minit mendapati remaja itu menunjukkan keadaan stabil dan dibenarkan pulang.
Beliau berkata, panggilan telefon susulan kepada keluarga selepas itu mendapati remaja itu sihat dan aktif seperti sedia kala.
“Siasatan lanjut mendapati remaja tersebut tidur awal sebelum hari kejadian, telah mengambil sarapan dan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan atau alahan sebelum ini.
“Kejadian tersebut berlaku disebabkan terlalu gementar dan menyebabkan beliau mengalami ‘serangan vasovagal’ (pengsan),” katanya.
Sementara, beliau menjelaskan, kes kedua membabitkan kanak-kanak berumur 12 tahun yang hadir tanpa janji temu bersama keluarga ke PPV sama pada 12.20 tengah hari dan diberikan vaksinasi pada 12.49 tengah hari.
Katanya, semasa proses vaksinasi, kanak-kanak itu dilihat gementar tetapi tiada kesan sampingan sepanjang proses vaksinasi dan tempoh pemerhatian namun apabila keluar dari bangunan PPV, dia mengadu sakit kepala dan lemah sebelum dibawa masuk semula ke PPV.
Pemeriksaan pegawai perubatan mendapati keadaannya juga stabil dengan tanda vital normal, malah pemerhatian 30 minit oleh pasukan perubatan menunjukkan keadaan stabil dan dibenarkan pulang.
“Hasil siasatan lanjut mendapati, remaja kedua ini tidur lewat iaitu pada 2 pagi. Selain itu tidak berselera makan dan hanya makan sesudu nasi lemak pada pagi itu.
“Remaja ini tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan, tidak pernah dimasukkan ke hospital atau mempunyai sebarang sejarah alahan sebelum ini. Kejadian ini disahkan berlaku disebabkan gementar, kurang tidur dan tidak mengambil sarapan sebelum vaksinasi,” katanya.
Dr Rusdi berkata, JKN Melaka bersama Pejabat Kesihatan Daerah akan terus memantau status kesihatan kedua-dua remaja ini dari semasa ke semasa, serta memohon maaf di atas kekeliruan yang timbul.
“Kepada semua ibu bapa dan penjaga yang akan membawa anak-anak untuk vaksinasi, beliau menasihatkan agar memastikan anak anak mendapat rehat yang mencukupi dan makan sebelum hadir ke PPV,” katanya. – Malaysiapost

