DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup 26 premis di sekitar ibu negara melalui Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana dikendalikan warganegara asing tanpa kebenaran.
Susulan itu, 15 warga Bangladesh, 10 warga Pakistan, tujuh warga India dan 12 warga Indonesia yang bekerja pengendali serta pekerja premis ditahan untuk diambil maklumat bagi tujuan dokumentasi dan tindakan susulan oleh agensi berkaitan lain.
Menerusi satu hantaran di Facebooknya, DBKL memaklumkan pihaknya turut mengeluarkan 115 notis kompaun melibatkan pelbagai kesalahan.
Menurut DBKL, tindakan itu diambil sepanjang Ops Patuh Terhadap Premis Perniagaan / Komersial di 11 kawasan Parlimen antara 16 hingga 30 September lalu.
“Dalam Ops Patuh DBKL kali ini, sebanyak 471 premis atau syarikat telah diperiksa yang melibatkan aktiviti pusat urut, perniagaan restoran, kedai pakaian/jahitan baju, kedai runcit, gunting rambut, kedai barangan am dan lain-lain aktiviti.
“Premis-premis ini dibenarkan beroperasi semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) namun perlu mematuhi Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan lain-lain akta dan peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan DBKL,” katanya.
DBKL turut memaklumkan 11 notis kompaun dikeluarkan menerusi Akta 342 dengan pelbagai kesalahan terhadap individu, pemilik premis serta syarikat yang ingkar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PPN ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Ops Patuh DBKL ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sehingga tamat tempoh PPN dikuatkuasakan.
Tindakan khas ini dilakukan mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang serta SOP DBKL dan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya. – Malaysiapost

