Vie Shanti tunai umrah buat arwah Siti Sarah

0
1

USAHAWAN dan selebriti media sosial, Vie Shantie Khan yang kini berada di Mekah bersyukur selesai menunaikan badal umrah buat penyanyi Allahyarham Siti Sarah Raissuddin.

Vie Shantie menerusi hantaran video berdurasi lima minit tujuh saat yang dimuat naik di Instagram, berkongsi keadaan di Mekah untuk tatapan umum.

Menurut bekas isteri kepada aktor Datuk Eizlan Yusof, meskipun hanya mengenali Siti Sarah melalui media sosial, dia mengikuti rapat perkembangan penyanyi itu pada hari-hari terakhirnya dan memang berniat untuk melakukan umrah buat Sarah.

“Hari ini 23 September jam 7.10 pagi, Alhamdulillah segala puji hanya bagi Allah, saya baru sahaja selesai buat umrah untuk Siti Sarah Raisuddin.

“Daripada hari saya tahu saya akan pergi meeting di sini (Arab Saudi) dan saya akan tinggal beberapa hari di Mekah sehinggalah semua kerja-kerja di sini selesai.

“Saya niat sejak Siti Sarah pergi menghadap illahi, saya nak buatkan dia umrah kerana dia seorang ibu dan mempunyai anak kecil,” katanya dalam video tersebut.

Penyanyi Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir pada 9 Ogos lalu disebabkan komplikasi berpunca Covid-19 selepas tiga hari ditidurkan.

Dalam masa sama, Vie Shantie memberitahu sempat mendoakan keempat-empat anak Siti Sarah dan mengakui memahami perasaan sama kerana dia juga seorang ibu.

Katanya, dia bersyukur kerana diberi peluang untuk menunaikan ibadah umrah oleh kerajaan Arab Saudi, dan ini adalah umrahnya yang kedua.

“Semoga Siti Sarah dan semoga anak-anaknya menjadi anak yang beriman walaupun tidak ada ibu di sisi. Semoga Shuib dan anak-anaknya selalu mendapat keberkatan dan semoga membesarkan anak Siti Sarah atau baby Ayash Affan menjadi anak yang beriman,” ujarnya.

Sementara itu, di ruangan komen, suami Sarah, Shuib Sepahtu menitipkan ucapan penghargaan buat Vie Shantie.

“Masyallah, Subhanallah, Aallahuakbar. Ya Allah terima kasih di atas badal umrahnya, doa-doanya. Semoga Allah membalas segala kebaikan ini, semoga Allah merahmati @vieshantiekhan sekeluarga dunia dan akhirat Amin ya rabal alamin,” tulis Shuib.

Sebelum ini, Vie yang juga pemilik jenama fesyen muslimah mencuri perhatian ramai apabila memuat naik fotonya bercuti di Janda Baik, Pahang meskipun dalam keadaan larangan merentas negeri.

Kemudian, usahawan itu dilihat berada di Riyadh dan Jeddah, Arab Saudi, difahamkan atas urusan kerja. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here