Umno tak pernah lupa kes kematian Adib – Zahid

0
1
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

UMNO tidak pernah melupakan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dan sentiasa menuntut agar keadilan ditegakkan, kata Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Umno sentiasa berpegang kepada keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September 2019 berhubung inkues kematian anggota bomba tersebut.

“Iaitu kematian Muhammad Adib selepas insiden rusuhan pada 27 November 2018 adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu.

“Umno sentiasa memerhati rapat perkembangan kes tersebut selepas kerajaan sebelum ini memberi jaminan akan meneruskan siasatan kes itu.

“Sejak itu Umno percaya pihak berkuasa perlu diberi masa dan ruang untuk melaksanakan siasatan mereka bagi mencari kebenaran,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya.

Justeru, Ahmad Zahid berkata, kenyataan seorang menteri baru-baru ini bahawa kes kematian Muhammad Adib ditutup sementara dan hanya akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu amat mendukacitakan.

“Umno menggesa siasatan kes itu yang telah menjadi suatu aspek kepentingan umum diteruskan sehingga kebenaran dapat dirungkai,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata kes penyiasatan pembunuhan Allahyarham Muhammad Adib ditutup sementara.

Ahli Parlimen Ampang itu juga dilaporkan berkata kes akan dibuka semula sekiranya wujud keterangan, maklumat dan bukti-bukti baharu dan komited untuk “terus mencari siapa yang telah menyebabkan kematian Muhammad Adib”. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here