[PARLIMEN] BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa terkejut dan pelik dengan undang-undang negara ketika ini.
Ini kerana kata Ahli Parlimen Langkawi itu, ketika ini ramai orang yang didapati bersalah oleh mahkamah tetapi masih terus menjadi wakil rakyat dan bercakap di dalam Dewan Rakyat.
Malah, beliau berkata mereka yang terlibat boleh pula menasihatkan kerajaan mengenai bagaimana untuk melaksanakan belanjawan negara.
“Di Malaysia sekarang kita dapati keadaan rule of law (kedaulatan undang-undang) ini sudah berbeza, sekarang kita dapati banyak orang yang didapati bersalah tetapi masih terus menjadi wakil rakyat.
“Umpamanya menasihat kerajaan bagaimana membelanjakan belanjawan kita dan tiada tindakan diambil ke atas orang ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) hari ini.
Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang menambah, golongan tersebut masih boleh hadir dalam Dewan Rakyat serta menyampaikan ucapan secara panjang lebar, namun selalu tiada masa untuk hadir berdepan hakim di mahkamah. – Malaysiapost

