Sekolah buka: PDRM nasihat sedia surat pengesahan rentas negeri

0
1
Sebahagian pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) menunggu dan menaiki bas mengikut SOP yang ditetapkan untuk pulang ke kampung sempena cuti perayaan Aidilfitri di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam hari ini.

IBU bapa, penjaga, tenaga pengajar dan pelajar yang akan melakukan pergerakan rentas negeri untuk ke sekolah, institusi pendidikan dan kemasukan asrama bagi sesi persekolahan bermula minggu depan dinasihatkan supaya menyediakan surat pengesahan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Hazani Ghazali, berkata surat pengesahan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atau sekolah dan institusi pendidikan perlu dikemukakan kepada petugas sekatan jalan raya (SJR).

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengemaskini prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pergerakan harian ke sekolah, institusi pendidikan, dan kemasukan asrama yang membabitkan pergerakan rentas negeri.

“Murid atau pelajar yang terbabit dibenarkan merentas negeri dengan menggunakan surat daripada KPM atau sekolah dan institusi pendidikan. Pergerakan mereka boleh ditemani oleh seorang penjaga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bagi pergerakan guru atau tenaga pengajar yang merentas negeri bagi tujuan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), MKN membenarkannya dengan surat pengesahan daripada KPM, sekolah atau institusi pendidikan.

“Oleh yang demikian, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan mereka yang ingin membuat pergerakan merentas negeri bagi tujuan ini agar menyediakan surat pengesahan untuk dikemukakan kepada petugas SJR dan melancarkan pergerakan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here